Dalam penulisan karangan, terdapat tiga jenis kaedah atau teknik untuk menulis karangan isi, iaitu :

1. Perenggan Deduktif

2. Perenggan Induktif

3. Perenggan Deduktif-induktif


i. Perenggan Deduktif

  • Dimulakan dengan isi penting
  • Huraian untuk isi penting
  • Ayat contoh
  • Ayat penegas

Contoh Perenggan Deduktif

         Satu daripada punca mutu sukan bola sepak negara kita merosot ialah disiplin  pemain negara kita tidak mencapai tahap yang tinggi.(Isi penting) Sudah banyak kali disiplin pemain bola sepak negara dipertikaikan ketika menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan atau luar negara.(Ayat huraian) Sebagai contoh, terdapat segelintir pemain negara yang tidak mengikuti jadual latihan yang ditetapkan oleh jurulatih dan paling memeranjatkan terdapat juga pemain yang terlibat dengan rasuah dengan mencatur keputusan perlawanan.(Ayat contoh) Justeru, persatuan bola sepak negara kebangsaan perlu mengambil berat masalah ini agar tidak memalukan mutu sukan bola sepak negara.(Ayat penegas) Bak kata pepatah, jangan sampai nasi menjadi bubur.(Frasa menarik / peribahasa)

ii. Perenggan Induktif

  • Dimulakan dengan ayat huraian
  • Ayat contoh
  • Ayat penegas
  • Isi penting

Contoh Perenggan Induktif

        Pabila pemain negara kita bersara, kita tidak mendapat pengganti yang sesuai.(Ayat huraian) Sebagai contoh, sehingga kini kita belum mempunyai pemain yang setanding dengan kehandalan pemain lagenda bola sepak negara seperti Allahyarham Mokhtar Dahari dan Soh Chi Aun.(Ayat contoh) Tegasnya, ketiadaan pemain yang menggerunkan lawan menyebabkan pasukan bola sepak negara kita sering gagal walaupun berlawan dengan pasukan yang lemah seperti Filipina dan Laos.(Ayat penegas) Puncanya ialah negara kita tidak mempunyai program bola sepak di peringkat akar umbi.(Isi penting)


iii. Perenggan Deduktif-Induktir

  • Dimulakan engan isi penting
  • Ayat huraian
  • ayat contoh
  • Diakhiri dengan isi penting sekali lagi

Contoh perenggan deduktif-induktif

         Faktor ketiadaan jurulatih yang berwibawa juga merupakan faktor kemerosotan mutu bola sepak negara kita.(Isi penting) Kebanyakan negara maju dalam bidang bola sepak mengambil jurulatih dari luar negara yang mempunyai pengalaman luas.(Ayat huraian) Contohnya, pasukan Korea Selatan yang menggunakan Gus Hiddink dari Belanda, telah berjaya untuk memasuki perlawanan separuh akhir kejohanan bola sepak Piala Dunia 2002.(Ayat contoh) Jadi, ketiadaan jurulatih yang berwibawa sebenanya menjadi salah satu punca kemerosotan mutu sukan bola sepak negara.(Isi penting)


Pelajar telah didedahkan cara untuk membina perenggan isi yang baik, matang dan pengolahan yang baik serta menarik dan menggambarkan penguasaan pelajar terhadap tajuk karangan.

Komen
* E-mel tidak akan diterbitkan di laman web.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING