Contoh karangan 1 (USAHA-USAHA MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL)

     Bertepatan dengan peribahasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan, Malaysia kini berhadapan dengan arus globalisasi dan modenisasi yang membawa kepada  pembangunan yang pesat. Berkait rapat dengan perkembangan tersebut, generasi muda hari ini lebih terdedah kepada alam siber dan permainan komputer sehingga melupakan permainan tradisional yang merupakan warisan pusaka sejak duhulu lagi. Lantaran itu, permainan tradisional turut dipandang enteng serta mula tersisih  daripada arus perdana kehidupan masyarakat. Sebagai individu, adakah kita sanggup membiarkan khazanah budaya bangsa kita lenyap begitu sahaja dek peredaran zaman yang berlaku? Mahukah  kita membiarkan anak watan berterusan meminggirkan budaya mereka? Dalam hal ini, sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak perlu mencari pendekatan yang pragmatik bagi meninggikan martabat permainan tradisional di negara kita bersesuaian dengan kata peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Prakarsa yang berkesan untuk mempopularkan permainan tradisional ini patut diusahakan secara bersungguh-sungguh bagi mengangkat status permainan tradisional di nusa tercinta ini.

     Pihak ibu bapa dianggap pihak yang paling dominan berperanan memperkenalkan serta mempopularkan permainan tradisional kepada generasi muda khususnya kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana kebanyakan ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak yang sedang membesar. Ibu bapa perlu  mendedahkan permainan tradisional kepada anak-anak mereka sejak kecil bertepatan dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya bagi tujuan memupuk minat  bermain permainan tradisional. Mereka boleh membelikan anak-anak mereka permainan tradisional sebagai hadiah sempena hari ulang tahun  ataupun sebagai hadiah kerana pencapaian cemerlang dalam akademik di sekolah. Ibu bapa juga boleh menganjurkan pertandingan permainan tradisional melalui Hari Keluarga yang diadakan sama ada dilakukan secara bersendirian atau bersama dengan rakan-rakan sekerja. Inisiatif ini dapat memberikan peluang kepada seluruh ahli keluarga yang mengambil bahagian untuk mencuba bermain permainan tradisional seperti congkak, menaikkan layang-layang dan bermain gasing. Jelas bahawa melalui usaha tersebut secara tidak langsung akan mempopularkan sesuatu permainan tradisional serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama ahli keluarga, bak kata peribahasa sambil menyelam minum air. 

     Selain itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia mestilah menjadikan permainan tradisional sebagai satu daripada kegiatan kokurikulum di sekolah.  Rentetan daripada itu, pihak sekolah hendaklah digalakkan menubuhkan kelab atau persatuan yang bercirikan permainan tradisional. Dengan berpayungkan kelab atau persatuan permainan tradisional seperti Kelab Budaya Bangsa, pelajar boleh belajar tentang cara membuat, cara bermain dan mengetahui syarat-syarat bermain sesuatu permainan tradisional. Setelah mengetahui secara mendalam sesuatu permainan itu, pelajar akan berminat untuk melibatkan diri dalam permainan tradisional tersebut. Usaha menanam minat terhadap generasi muda penting kerana mereka merupakan akar tunjang yang bakal mewarisi warisan pusaka bangsa serta mewarnai masyarakat masa hadapan, justeru, penglibatan pelajar secara langsung dalam permainan tradisional nescaya dapat mempopularkan permainan tersebut di Malaysia daripada pupus dan lenyap begitu sahaja. Bertepatan dengan kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta, maka iltizam pihak sekolah amat dituntut agar putera-puteri yang sedang berjuang di medan ilmu dapat bergiat aktif mempopularkan permainan tradisional di samping mengurangkan sedikit tekanan menghadapi peperiksaan. 

     Pertukaran budaya dengan negara luar merupakan inisiatif lain yang boleh dilakukan bagi mempopularkan permainan tradisional. Apabila program tersebut dilaksanakan maka pelajar dari luar negara yang datang ke Malaysia akan berpeluang bermain pelbagai permainan tradisional di sini. Apabila mereka pulang ke negara mereka kelak, mereka akan mengajar rakan-rakan dan ahli keluarga permainan yang pernah mereka mainkan di sini. Usaha ini secara tidak langsung membolehkan nama Malaysia akan masyhur di persada antarabangsa dan rakyat Malaysia boleh berbangga kerana Malaysia masih mempunyai permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Perkara yang sama boleh dilakukan oleh agensi pelancongan yang bertindak sebagai medium penyebar maklumat untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada pelancong asing.  Lantaran itu, agensi pelancongan boleh mengurus aktiviti seperti bermain gasing, galah panjang dan teng-teng di tempat penginapan pelancong asing. Diharapkan langkah ini akan membuatkan para pelancong  terhibur sekali gus berminat dengan acara-acara yang disediakan dan ingin datang kembali ke Malaysia. Jelaslah bahawa, pertukaran budaya antara negara dan peranan agensi pelancongan mampu menjadi platform dalam usaha kerajaan mempopularkan permainan tradisional kepada masyarakat luar. 

     Konklusinya, semua etnik tidak sewajarnya membiarkan khazanah budaya mereka termasuk permainan tradisional terus lenyap di muka bumi kerana warisan tersebut ialah  khazanah dunia yang tidak ternilai harganya. Walaupun Malaysia  sedang mengorak langkah serta bersedia melakukan pecutan akhir ke arah negara maju pada tahun 2020, kita tidak seharusnya menjadi seperti kacang lupakan kulit yang melupakan asal usul dengan mengabaikan peninggalan warisan nenek moyang kita. Kita amat berharap semua pihak tetap teguh memelihara khazanah budaya ini pada setiap masa kerana generasi terkini hanya sekadar meminjam warisan bangsa yang mungkin menjadi sanjungan generasi mendatang. Suka ditegaskan di sini bahawa setiap anak watan Malaysia perlu menyahut cabaran dan menghadapi semangat habis kapak berganti beliung untuk merealisasikan impian negara tercinta ke arah Menjana Transformasi Rakyat Cemerlang. Malaysia Boleh!


Contoh karangan 2 (CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN)

                                             Teruja kenari di tepi pulasan,

                                            Pegun nak dara gemersik suara:

                                            Remaja kini tinggi wawasan,

                                           Tonggak kejayaan aspirasi negara.

     Pantun di atas jelas menunjukkan bahawa remaja kini merupakan tunjang kecemerlangan sesebuah negara. Mereka merupakan pelapis yang akan menduduki tampuk pemerintahan pada masa akan datang. Sayang dan malang sekali, remaja hari ini tidak sedar akan obligasi yang terbeban di bahu mereka itu. Realitinya, Malaysia memerlukan lebih ramai remaja berwawasan yang mampu mendukung aspirasi negara.

       Dalam perbincangan ini, saya akan mengutarakan tentang ciri-ciri remaja berwawasan yang diperlukan di negara Malaysia. Remaja berwawasan dan mempunyai akhlak yang mulia boleh dicontohi. Selaras dengan cogan kata, budi bahasa budaya kita, remaja perlulah mempunyai nilai moral yang tinggi. Mereka hendaklah mengamalkan amalan bersopan santun ketika bertutur, berjalan, makan dan minum serta cara berpakaian. Mereka juga mestilah menghormati orang yang lebih tua daripada mereka dengan bertutur dengan nada yang rendah dan membongkokkan badan apabila berjalan di hadapan mereka. Selain itu, remaja yang berwawasan juga sentiasa membantu rakan-rakan mereka yang berada di dalam kesusahan,bak kata peribahasa, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Perintah agama juga tidak pernah dilupakan oleh remaja berwawasan kerana segala kejayaan bermula apabila kita taat kepada perintah agama. Dengan ini jelaslah bahawa, berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan.

       Melihat daripada perspektif yang lain, seorang remaja yang berwawasan mestilah mempunyai pengetahuan yang tinggi.  Cogan kata, membaca jambatan ilmu, kerana ilmu hanya didapati melalui pembacaan bahan ilmiah. Remaja yang berwawasan sentiasa menelaah buku untuk mendapatkan ilmu. Kita sedia maklum bahawa remaja adalah pewaris tampuk pemerintahan negara dan dengan adanya ilmu di dada, mereka pasti dapat menangani segala onak dan duri yang bakal didepani oleh negara kelak. Seterusnya, remaja berwawasan yang berilmu pengetahuan tidak akan mudah terpedaya dengan tipu helah anasir-anasir mazmumah yang sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan anak bangsa ,ibarat duri dalam daging. Sudah terang lagi bersuluh, dengan mempunyai ilmu pengetahuan, remaja mampu menjadi remaja berwawasan dan negara dapat melahirkan golongan inteligesia yang mampu menggalas aspirasi negara.

       Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut, kriteria remaja berwawasan seterusnya ialah seseorang yang gigih berusaha dan berani mendepani cabaran. Peribahasa yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, perlulah disemat di dalam diri setiap remaja. Remaja yang berwawasan sentiasa berusaha untuk mendapatkan kejayaan dan tidak bersikap pesimistik. Tamsilnya, mereka tidak akan berputus-asa apabila tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, sebaliknya mereka menjadikan perkara tersebut sebagai permulaan sesuatu kejayaan,  bak kata Adelucia Longbotton, "satu pintu akan tertutup, pintu yang lain akan terbuka." Namun, kadang-kadang kita melihat dan menyesali pintu yang tertutup itu terlalu lama sehingga terlupa untuk melihat pintu yang telah terbuka. Remaja berwawasan juga tidak pernah mengeluh untuk melaksanakan sesuatu perkara kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Oleh hal yang demikian jelaslah bahawa, remaja berwawasan sentiasa gigih berusaha.

       Semangat patriotik yang tinggi merupakan pemangkin kepada kemerdekaan negara yang sudah mencapai angka lima puluh lima tahun pada hari ini. Remaja yang berwawasan hendaklah menanam semangat patriotik di dalam diri kerana George Santayana pernah berkata, "manusia yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula." Semangat sayang akan negara dapat menyelamatkan tanah tumpah darah ini daripada dijajah oleh kuasa asing semula. Remaja berwawasan tidak akan mudah terpengaruh dalam segala bentuk penjajahan sama ada dari segi mental, intelektual, hiburan dan sebagainya. Mereka juga tidak akan mudah terpengaruh dengan budaya barat yang berbeza sama sekali dengan budaya timur yang kita amalkan selama ini. Jelaslah bahawa,semangat patriotik yang tinggi merupakan ciri remaja berwawasan yang diidam-idamkan oleh negara.

       Akhirulkalam, ciri-ciri remaja berwawasan ini mampu dicapai oleh setiap remaja kerana ia merupakan aspek-aspek yang sememangnya sudah diterapkan di dalam diri setiap warganegara Malaysia tidak kira kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun warga emas. Dengan ini, diharapkan bahawa cita-cita negara untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020 dan dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara atas angin yang moden tidak menjadi seperti angan-angan Mat Jenin.

Komen
* E-mel tidak akan diterbitkan di laman web.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING